Piagam Madinah

.

Wednesday 13 January 2016

Masjid-masjid yang dibina oleh Nabi Muhammad SAW : Masjid an-Nabawi

Masjid al-Nabawi


Masjid al-Nabawi juga dikenali sebagai Masjid Nabi adalah masjid yang kedua tersuci selepas Masjidil Haram. Di sini juga terletaknya makan Rasululullahb SAW, Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq dan Sayyidina Umar al Khattab. Masjidil Haram merupakan masjid yang paling suci di dalam Islam dan Masjidil al-Aqsa merupakan masjid yang ketiga paling suci di dalam Islam.

PEMBANGUNAN MASJID

Nabi Muhammad SAW mula membina masjid ini pada bulan Rabiul Awwal di awal-awal hijrahnya ke Madinah. Pada saat itu keluasan masjid ini hanyalah 35m panjang dan kelebarannya 30m. Pada saat itu ruangan di masjid ini amatlah terhad dengan berlantaikan tanah yang berbatu, beratapkan pepelah kurma dan hanya terdapat 3 pintu.

Dalam proses pembangunan pada masa itu, terdapat bangunan yang dimiliki oleh Bani Najjar. Lalu Rasululullah SAW bertanyakan kepada Bani Najjar: "Wahai Bani Najjar, berilah  harga bangunan kalian ini." Orang-orang Bani Najjar lantas menjawab: "Tidak, demi Allah. Kami tidak akan meminta harga untuk bangunan ini kecuali hanya kepada Allah SWT." Bani Najjar dengan suka rela mewakafkan bangunan dan tanah mereka tersebut untuk pembangunan Masjid Nabawi dan mereka berharap pahala dari sisi Allah atas amalan mereka tersebut.

Anas bin Malik meriwayatkan sebuah hadith yang berbunyi:

" Pada masa itu di kawasan pembangunan terdapat perkuburan orang-orang musyrik, serpihan-serpihan bangunan dan pohon kurma. Rasululllah SAW memerintahkan untuk memindahkan mayat di makam tersebut serta meratakan serpihan-serpihan  dan menebang pohon kurma."

Pada tahun 7 Hijrah, jumlah umat Islam semakin bertambah hari demi hari sehinggakan masjid menjadi penuh. Lalu Rasulullah SAW mengambil keputusan untuk memperluaskan Masjid Nabawi. Beliau menambahkan 20 hasta untuk panjang dan lebar masjid. Uthman bin Affan adalah orang yang menanggung kos pembebasan tanah untuk perluasan masjid pada masa itu. Peristiwa ini terjadi sepulangnya beliau dari Perang Khaibar. Masjid Nabawi adalah masjid yang dibangun dengan landasan ketaqwaan. Di antara kelebihan masjid ini adalah akan dilipat-gandakan pahala jika solat di dalamnya. Rasulullah SAW bersabda: 

"Solat di masjidku ini lebih utama dari 1000 kali solat di masjid selainnya, kecuali Masjid al-Haram." (HR: Bukhari dan Muslim)


MIMBAR

Pada awal selepas pembukaan Masjid Nabawi, Rasulullah SAW hanya berkhutbah di atas potongan pohon kurma sehinggalah para sahabat  membina sebuah mimbar untuk baginda berkhutbah di atasnya. Peristiwa ini  berlaku semasa Rasulullah SAW sedang berdiri di atas potongan pohon kurma tersebut, lalu datang seorang kaum Ansar mengatakan, "Wahai Rasulullah, bolehkah kami membuatkanmu mimbar?" Rasulullah SAW menjawab, "Jika kalian mau, silakan." Maka para sahabat membina sebuah mimbar untuk baginda. Pada Jumaat seterusnya, saat baginda naik ke atas mimbar, terdengarlah suara tangisan pohon kurma seperti tangisan anak kecil. Rasulullah SAW mengatakan, "Ia menangis kerana kehilangan zikir-zikir yang dahulunya disebut di atasnya." (HR: Bukhari)

Di antara keagungan dan kelebihan mimbar ini, Rasulullah SAW melarang seseorang pun bersumpah di dekatnya. Barangsiapa bersumpah berdekatan mimbar tersebut, maka dia telah berdusta dan berdosa."

"Janganlah seorang budak lelaki atau perempuan bersumpah berdekatan mimbar tersebut. Bagi orang yang bersumpah, maka dia berdosa..." (HR: Ibnu Majah, Ahmad dan Hakim)

RAUDHAH

Di dunia ini banyak sekali taman buatan yang indah dan nyaman untuk sekadar melepas lelah dan bersantai dengan keluarga atau sahabat. Bahkan tidak jarang kita membuat taman sendiri di rumah atau bersenda gurau di taman. Namun perlu kita ketahui bahawasanya ada sebuah taman yang menakjubkan bagi kita umat Islam, sebuah taman (Raudhah) yang Rasulullah SAW amat cintai,


Raudhah adalah suatu tempat di Masjid Nabawi yang terletak di antara mimbar baginda dengan Rumah Baginda. Rasulullah menerangkan tentang kelebihan Raudhah dalam hadith berikut:

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: 

"Antara rumahku dan mimbarku terdapat taman di antara taman-taman syurga. Dan mimbarku di atas telagaku." (HR: Bukhari)

Lokasi Raudhah merupakan bahagian saf lelaki dan hanya dibuka untuk perempuan pada masa tertentu sahaja. Pada waktu dhuha dan setelah solat zuhur.

Oleh kerana Raudhah terletak bersebelahan dengan makam Rasulullah SAW, jadi disini merupakan tempat yang mustajab untuk berdoa. Apapun doa yang dipanjatkan kepadaNya, insyaAllah akan dimakbulkan.

MAKAM

Di dalam masjid ini juga adalah tempat terletaknya makam Nabi Muhammad SAW, Sayyidina Abu Bakar As-Sidiq dan Sayyidina Umar Al Khattab. Mereka dimakamkan bersebelahan sesama mereka.



PERLUASAN MASJID NABAWI

1. Nabi Muhammad SAW telah meluaskan Masjid Nabawi pada tahun ke 7 Hijrah selepas pulangnya baginda dari Khaibar.

2. Pada zaman Umar Al Khattab pula, tahun 17 Hijrah, Masjid Nabawi kembali diperluas. Umar juga telah menambahkan sebuah tempat yang agak tinggi di luar masjid yang dinamakan Batiha. Tempat ini digunakan oleh orang-orang yang hendak mengumumkan suatu berita, membacakan syair atau hal-hal lain yang tidak terkait syiar agama. Sengaja Umar membuatkan tempat ini untuk menjaga kemuliaan masjid.

3. Perluasan masjid pada masa Uthman Bin Affan, tahun 29 Hijrah.

4. Perluasan masjid oleh Khalifah Umayyah, Walid bin Abdul Malik pada tahun 88 hingga 91 Hijrah.

5. Perluasan masjid oleh Khalifah Abassiyah, al-Mahdi pada tahun 161 hingga 165 Hijrah.

6. Perluasan masjid oleh al-Ashraf Qayitbay pada tahun 888 Hijrah.

7. Perluasan masjid oleh Sultan Uthmani, Abdul Majid pada tahun 1265 hingga 1277 Hijrah.

8. Perluasan masjid oleh Raja Arab Saudi, Abdul Aziz alu Su'ud pada tahun 1372 hingga 1375 Hijrah.

9. Perluasan oleh Khadimu al-Haramain asy-Syarifain, Fahd bin Abdul Aziz alu Su'ud pada tahun 1406 hingga 1414 Hijrah.

10. Perluasan masjid yang saat ini sedang berlangsung oleh Khadimu al-Haramain asy-Syarifain, Abdullah bin Abdul Aziz.


GAMBAR-GAMBAR MASJID NABAWI DAHULU






GAMBAR-GAMBAR MASJID NABAWI SEKARANG





No comments:

Post a Comment